Thursday, November 5, 2009

.: Usrah :.

Usrah
Satu perkataan yang tidak lagi ganjil di kalangan orang yang sudah terlibat dengan apa-apa persatuan atau gerakan Islam. Pernah suatu ketika dahulu ia merupakan satu perkataan yang menimbulkan bermacam-macam persoalan dan sesiapa yang mengikutinya dianggap sebagai orang-orang yang merancang kejahatan (baca: aktiviti underground). Mungkin juga sekarang, ada sesetengah tempat yang masih lagi mempunyai inersia yang sedemikian tetapi di kebanyakan tempat ia sudah menjadi satu perkataan yang lazim dan begitu sinonim dengan badan-badan Islamik.

Persoalannya, ada apa dengan usrah?

Buat mereka yang ada latar belakang Islamik, yang ibu bapa mereka giat di dalam aktiviti-aktiviti Islam maka mereka mungkin sudah mengetahui apakah usrah. Tetapi buat sebahagian besar dari yang lainnya itu, di tempat-tempat mereka mengenali wadah Islamlah tempat mereka mengenali apakah itu usrah. Itupun bernasib baik jika dipanggil sebagai usrah, adakalanya sesetengah tempat menggunakan nama-nama lain seperti Halaqah al-Qur'an (HAQ), Majlis Diskusi Pelajar (MDP) dan lain-lain lagi.

Bagi ramai, mereka memahami bahawa usrah itu adalah perjumpaan mingguan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan iman di masa-masa yang lapang. Andaikata masa tersebut lapang, maka insya Allah dia akan menyertai. Tetapi jika ada hal lain, haa... "Saya fikir-fikir dulu ye bang?" biasa lah tu.

Tetapi...

Sebelum masuk kepada "ada apa dengan usrah?" saya suka ingin membawa anda kepada melihat sirah usrah itu sendiri.

Pada peringkat awal permulaan da'wah Islamiyah, RasuluLlah SAW yang telah bermula dengan seorang diri. Lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada keluarganya terapat, di dalamnya termasuk Khadijah, zaujah baginda dan Ali, anak saudaranya. Selain dari itu, beberapa sahabat RasuluLlah yang terapat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar as-Siddiq dan datang daripadanya pula Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.

Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah; penjernihan aqidah Islam kepada yang tulen. RasuluLlah SAW pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya penuh dengan kerahsiaan. Sebabnya mudah; kaedah da'wah yang dilakukan adalah da'wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.

Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur'an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh makhluk yang bernama manusia (juga jinn).

Dalam konteks tersebut, RasuluLlah telah membuat pertemuan-pertemuan di rumah beberapa sahabat. Antara yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Satu majlis yang kecil yang terdiri daripada beberapa orang sahabat tertentu dibuat untuk membentuk nilai-nilai Islamik ahlinya. Tetapi, pada ketika itu ia tidak disebut sebagai usrah.

Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh RasuluLlah SAW:
"Islam datang dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing)..." (Muslim).
Dan kita melihat jahiliyyah kembali berleluasa, lagi-lagi ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir pada tahun 1924M.

Hassan al-Banna (1906-1949) yang menyedari hakikat ini telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan sistem Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan ialah bagaimana institusi keluarga itu telah gagal di dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu sistem yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus bernama usrah.

Usrah (baca: keluarga). Kenapa? Kerana ia bertujuan membawa fungsi membentuk individu muslim dengan tarbiyah Islamiyah yang tulen kepada ahlinya sementara institusi keluarga (baca: usrah) yang sebenar belum dapat menjalankan fungsi tersebut dengan baik. Ketuanya (baca: naqib) umpama seorang bapa. Ahlinya yang lain umpama anak-anak. Seorang naqib memainkan peranan yang sangat penting sebagai bapa untuk menjaga kebajikan ahlinya, seorang syeikh dalam memberi pengisian ruhiyah, seorang ustaz di dalam mendidik dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, dan seorang qiyadah di dalam memberi arahan yang perlu dilaksanakan.

Hasilnya ialah, sistem usrah itu bertujuan menjadi salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk memndidik dan membina individu-individu muslim yang tulen lagi "tegar". Dan perkara ini hanya akan terhasil setelah menepati rukun-rukun usrah yang ada:
(1) Ta'aruf

iaitu saling berkenalan sesama ikhwah hingga sampai tahap mengenali potensi dan kelemahan setiap individu di dalam kumpulan tersebut.

(2) Tafahhum
saling memahami hingga seorang akh itu dapat menegur dan ditegur oleh akh yang lainnya.
(3) Takaful
lalu memenuhi seruan Rasul; "Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan".

Akhirnya, usrah yang berkesan itu adalah usrah yang mendapat partisipasi dari hebat dari ahlinya di samping bimbingan dan panduan yang mantap dari naqibnya. Tanpa kedua-dua ini, tidak mungkin wujud usrah yang muntijah.

Fikir-fikirkanlah apa yang patut dibuat...

Takkan pernah tinggalkan...

Sahabat...
Jika engkau memandang segalanya dari ALLAH,
yang menciptakan segalanya,
yang menimpakan ujian,
yang menjadikan
sakitnya hatimu,
yanag membuatkan keinginanmu terhalang,
serta yang menyusah-nyusahkankan kehidupanmu,
Pasti akan damai
dan tenanglah HATIMU...

Kerana masakan ALLAH sengaja mentakdirkan
segalanya terhadapmu
untuk suatu yang sia-sia...

Bukan ALLAH tidak tahu
derita hidupmu,
pecah hatimu...
tapi..
mungkin itulah yang DIA mahu,
mungkin untuk menguji sedalam mana cinta
dan pengorbananmu
untuk-NYA...

Juga kerana DIA tahu,
hati yang sebeginilah
selalunya lebih lunak,
lebih dekat
dan mudah akrab dengan-NYA...

Ingatlah!
kalau ada apa-apa,
carilah DIA...
DIA sentiasa berada BERSAMA kita,
tak pernah sesekali meninggalkan kita...

:: Mengemis Kasih ::


MENGEMIS KASIH
(Nazrey Johari)

TUHAN dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alfa jua buta
Lalu terhiritlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi ku ulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

TUHAN dosaku mengunung tinggi
Tapi rahmatMu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanya setitis nikmatMu dibumi

TUHAN walau taubat sering ku mungkir
Namun pengampunanMu tak pernah bertepi
Bila selangkah ku rapat padaMu
Seribu langkah kau rapat padaku

*liriknya sgt menyentuh hati ini... sesungguhnya byk benar dosa ni...

Saturday, October 24, 2009

::apabila FUTUR dalam dakwah::

السلام عليكم ورحمت الله وبركاته

Erti Futur


Futur adalah perkataan dari bahasa Arab asalnya ia bermakna terputus, berhenti, malas dan lambat, setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Dalam konteks amal dakwah, ia adalah satu penyakit yang menimpa aktivis dakwah dalam bentuk rasa malas, menunda-nunda, berlambat-lambat dan yang paling buruk ialah berhenti dari melakukan amal dakwah. Sedangkan sebelumnya ia adalah seorang yang aktif dan beriltizam.

Fenomena ini adalah satu perkara yang biasa berlaku dan dihadapi oleh ramai mereka yang bertangungjawab dalam mentarbiyah para aktivis dakwah. Hakikat ini adalah kerana futur merupakan sifat semula jadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits yang bermaksud;

“Sesungguhnya bagi setiap amalan adalah masa-masa rajin dan tiap-tiap masa rajin ada futur. Namun barangsiapa yang futurnya menjurus kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperoleh petunjuk. Barangsiapa pula yang futurnya menjurus kepada selain sunnahku, maka ia telah tersesat.” (Riwayat Al-Bazzar)


Bahaya Futur

1. Pengabaian kepada amanah.

Futur menyebabkan seorang aktivis dakwah bermalas dalam menunaikan tugas dakwahnya. Ini kadangkala sehingga menyebabkan tugas berkenaan lewat disempurnakan atau terbengkalai sehingga mengganggu keseluruhan projek yang hendak dilaksanakan. Apa jua pengabaian kepada kewajiban adalah pelanggaran amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.


2. Gugur dari jalan dakwah.


Sekiranya futur tidak ditangani atau dibiarkan tanpa dirawat, ia akan menjadi satu tabiat. Lama-lama, perasaan ini menjadi sebati dan aktivis berkenaan menjadi semakin jauh dari amal dakwah. Akhirnya, ia terus tidak lagi terbabit dalam amal dakwah. Apabila seorang itu gugur dari jalan dakwah, maka ia telah hilang banyak kebaikan dari usaha dakwah. Lebih buruk lagi, ia telah mengabaikan kewajiban dakwah yang ditaklifkan ke atasnya sebagai seorang Muslim.


3. Mengakhiri kehidupan dalam keadaan yang futur.


Apabila seseorang itu berlama-lama dalam keadaan futur sehingga menjadi kebiasaannya, maka ia menanggung risiko besar untuk mati dalam keadaan sedemikian kerana dia tidak tahu akan masa kematiannya. Adalah ditakuti, jika Allah taala mengambil nyawanya sedangkan dia dalam keadaan futur, sedangkan Allah taala menghisab amal manusia berdasarkan akhir hayatnya.

Maka sebab itulah, Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepadaMu dari penyakit lemah dan malas...”
(Riwayat Abu Daud)


Di dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga, dan ada pula yang mengamalkan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Sesungguhnya amal itu tergantung pada kesudahannya.”
(Riwayat Al-Bukhari
)

Kenapa Futur Berlaku?


1. Melakukan amalan agama secara berlebihan, melampau atau memaksa diri.

Ramai aktivis dakwah begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga tidak memerhatikan aturan alam, anjuran Islam dan keupayaan diri. Akhirnya apabila naluri semulajadi futur muncul, ia menjadi lemah, jenuh dan bosan sebagaimana yang dinyatakan oleh hadits di atas. Maka sebab itulah Rasulullah s.a.w menganjurkan dalam sabdanya yang bermaksud;
“Jangan kamu memberat-beratkan diri. Nanti akan diberatkan ke atasmu.”
(Riwayat Abu Daud)

“Tidaklah seseorang memberatkan diri dalam bergama, melainkan ia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari)


Oleh itu, pembimbing tarbiyah mestilah mendidik aktivis dakwah untuk mengikuti anjuran Rasulullah s.a.w dalam hadits yang bermaksud;

“Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingg akamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling
disukai oleh Allah ialah yanag dilakukan secara rutin walau pun sedikit.”
Riwayat Al-Bukhari & Muslim)


2. Suka berlebih-lebih dalam perkara yang mubah.

Satu contoh ialah berlebihan dalam pemakanan. Walau pun makan adalah satu keharusan tetapi apabila seseorang itu berlebihan dalamnya, ia akan memberi kesan kepada tubuh dan rohaninya. Badannya menjadi gemuk dan berat untuk aktif yang menatijahkan rasa malas.

Contoh lain ialah tabiat melayari internet atau berchat. Apabila seseorang berlebihan dalamnya, ia akan merasa ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk on9 dan berchat. Akibatnya masa untuk dakwah menjadi kurang dan ia sering merasa konflik antara menggunakan masa untuk amal dakwah dengan tabiat melayari tenet dan berchat.

3. Suka bersendiri dan berjauhan dari berjamaah.

Apabila seorang aktivis suka bersendiri, maka dia telah hilang satu benteng pertahanan dari syaitan kerana Rasulullah s.a.w bersabda bahawa syaitan itu lebih dekat kepada seorang dari kepada dua orang dan lebih dekat kepada dua orang dari kepada tiga orang. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya. Pastinya syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal dakwah.

4. Kurang mengingati mati dan Akhirat.

Antara faktor pendorong kuat dalam amal dakwah ialah hasrat mendapat pahala, rasa rindu dengan syurga, takut akan dosa dan siksa neraka. Kesemua ini berkaitan dengan mengingati akhirat. Oleh itu, apabila mengingati akhirat berkurangan, ia akan diganti dengan ingatan kepada benda-benda lain. Natijahnya faktor pendorong menjadi lemah dan futur menguasai diri.

Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk ditarbiyah agar mempunyai rutin ibadah tertentu yang akan terus mengingatkannya akan akhirat, bukan hanya bercakap mengenai fikrah atau menumpu pada kemahiran semata-mata.

5. Lengah dengan syubhat dan dosa.


Manusia akan pasti melakukan silap dan dosa tetapi ia tidak boleh mempunyai sikap toleransi dengan dosa atau bertoleransi setelah melakukannya kerana dosa akan membina titik hitam. Jika titik itu tidak dibiarkan ia akan melemahkan semangat dan mengakibatkan futur.

6. Membataskan aktiviti pada aspek tertentu sahaja.


Antara punca rasa jemu ialah tiada kepelbagaian. Oleh itu, pembimbing tarbiyah hendaklah membimbing para aktivis dakwah untuk mempelbagaikan segala tidakannya. Ia mesti mempelbagaikan ibadah mereka agar apabila mereka jemu pada satu ibadah, mereka masih melazimi satu ibadah yang lain. Ia mesti mempelbagaikan corak amal dakwah mereka agar mereka tidak mudah jemu dan bosan. Dengan itu, kemungkinan futur menjadi rendah.

7. Melupakan sunnah alam.

Futur berlaku juga apabila seseorang itu dalam melakukan amal dakwahnya tanpa mengikut aturan alam seperti mahu satu perubahan yang segera dan cepat, tidak realistik dengan harapannya, sehingga apabila usahanya selalu gagal, ia menjadi putus asa.

Termasuk dalam memelihara sunnah alam ialah menunaikan hak badan, keluarga dan hak-hak lain. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, dirimu mempunyai hak atasmu, keluargamu jug amempunyai hak atasmu. Oleh itu, berikan setiap yang punya hak, akan haknya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Selain pembimbing tarbiyah sentiasa memerhatikan aspek ini dalam diri para aktivis, dia hendaklah memastikan agar tidak menjadi punca para aktivis mengabaikan hak-hak yang lain dengan memberi tugas-tugas atau tuntutan yang berlebihan.


8. Tidak ada persiapan menghadapi cabaran di jalan dakwah.


Jalan dakwah sentiasa dipenuhi oleh ujian. Seseorang yang tidak bersedia atau mempunyai persiapan akan pasti ditewaskan oleh ujian ini. Maka sebab itulah penting bagi aktivis dakwah untuk melalui program tarbiyah yang sistematik sebagai salah satu mekanisme persiapan di jalan dakwah.

Pembimbing tarbiyah tidak boleh hanya seronok melihat kesibukan aktivis dakwah dengan pelbagai projek sehingga tidak ada masa untuk tarbiyah.

9. Lebih banyak bercampur dengan teman-teman.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud;
“Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman.” (Riwayat Abu Daud)
Maka sebab itu penting bagi pembimbing tarbiyah untuk membina kemesraan dengan para aktivis dan kemesraan sesama mereka. Dengan kemesraan itu, mereka saling mengasihi dan menjadi teman yang terbaik antara satu sama lain. Dengan itu juga, mereka tidak condong kepada golongan-golongan lain untuk dijadikan teman. Ini adalah cara yang lebih baik dari cuba control atau halang seseorang aktivis dari berkawan dengan yang lain.

10. Bekerja untuk dakwah tanpa bersistem.

Apabila seseorang bekerja tanpa ikut sistem dan perancangan yang baik, ia akan memenatkan diri sendiri dan kurang mendapat hasil yang baik. Ini pastinya akan menjejas semangat dan komitmennya.

Menjadi tanggungjawab pembimbing tarbiyah untuk menyepadukan pembinaan kemahiran yang betul sebagai sebahagian dari program tarbiyah bag imengelakkan faktor ini. Di samping itu, pembimbing tarbiyah sendiri mestilah menjadi contoh yang baik.

Artikel ini dipetik dari tulisan buku Afat `Ala Tariq oleh Dr. Sayyid Muhammad Nuh dan terjemahannya bertajuk Terapi Mental Aktivis Harakah, terbitan Pustaka Mantiq, Indonesia, 1995.

:: manusia diibaratkan seperti anjing::

ASSALAMUALAIKUM...

Terbayangkah kita di ibaratkan seperti anjing?

Sungguh terkesan dihati ini...

Betapa hinanya kita bila dibandingkan dgn seekor anjing...

Penghinaan ini bukannya dari seseorang yang memusuhi atau yang berdendam dengan kita...

tapi dari YANG MAHA KUASA...dari PENCIPTA kita...


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang...

" dan sekiranya KAMI berkehendak,nescaya KAMI tinggikan darjatnya dengan ayat-ayat itu.Tetapi dia cenderung kepada DUNIA dan mengikuti keinginannya yang rendah, maka perumpamaannya seperti ANJING,jika kamu menghalaunya diljulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya ia tetap menjulurkan lidahnya juga.Demikianlah perumpaan orang-orang yang MENDUSTAKAN ayat-ayat KAMI. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir. Sangat buruk perumpamaan orang-orang yang MENDUSTAKAN ayat-ayat KAMI,mereka menzalimi diri sendiri" (al-A'raf 7:176-177)


Ya ALLAH...

Betapa hina kami disisi-MU...

KAU peliharalah iman kami supaya kami tidak lalai kepada-MU...

Sesungguhnya hidup di DUNIA ni penting kerana ada KEHIDUPAN AKHIRAT...

DUNIA ini hanya tempat persinggahan untuk kita menanam amal...

sebelum tiba di DESTINASI AKHIRAT untuk menuai hasi dunial...



wallahu'alam

Sunday, October 18, 2009

.:aku di sisi-MU:.


Aku tidak harap dengan amalanku
Walaupun aku berusaha mengerjakannya
Aku cuba bermujahadah
Melaksanakan yang disuruh
Meninggalkan yang ditegah
Namun yang disuruh tidak sempurna
Yang ditegah terbuat juga
Begitu lemahnya aku

Bertungkus lumus aku bermujahadah
Melaksanakan yang diperintah
Meninggalkan yang ditegah
Tidak mampu aku menyempurnakannya
Aduh lemahnya aku
Aku kecewa
Aku sedih selalu

Katalah bukan dengan rahmatMu Tuhan
Atau bukan dengan kemaafanMu
Aku hampir putus asa
Tak mesti rahmatMu yang aku tunggu
Setidaknya kemaafanMu

Yang aku pinta
Aku inikan hambaMu
Kalau bukan belas kasihMu
Siapa lagi yang mengasihi aku?


Wallahu a'lam...

.: Rintihan Kalbu:.

Langkah Pertama

السلام عليكم ورحمت الله وبركاته

Alhamdulillah, akhirnya aku berkesempatan untuk mencoretkan sepatah dua kata dalam blog ni yang da lama aku biarkan bersawang tanpa sebarang benda pun. Sebenarnya da lama aku terfikir nak buat blog ni,tapi aku selalu terfikirkan apakah faedahnya ada blog ni...dan akhirnya aku telah mendapat jawapannya dari akhawat yang slalu aku cintai kerana-Nya. Ya ALLAH, betapa bertuah & beruntungnya aku kerana telah bersama-sama dengan mereka.


Akhirnya aku gagahkan jua tangan ini untuk menaip sesuatu yang berfaedah dan berguna kepada pembaca-pembaca blog ni, insyaAllah....semoga apa yang diharapkan akan berpanjangan...ini adalah percubaan pertama aku,so, aku mengharapkan sebarang komen-komen yang membina atau membunuh dari semua pembaca supaya aku dapat improvekan lagi tulisan blog ni...insyaAllah...So, ini saja yang dapat aku kongsikan dulu sebelum aku meng’up-date’kan lagi blog yang tak berapa nak kreatif dari orang lain.
Untuk renungan:

”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (surah As-Saff, 61: 4)


Manusia adalah insan kerdil yang sentiasa cenderung melakukan kesilapan...berdampinglah dengan insan-insan yang mampu menasihatimu apabila kamu melakukan kesalahan....serta insan yamg mampu menerima teguran apabila dia melakukan kesilapan....kerana manusia itu diciptakan saling memerlukan antara satu sama lain.

sekian.